KEMUNCULAN kembali Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, di kerusi Speaker bagi mempengerusikan sesi petang Sidang Dewan Rakyat, hari ini ternyata mengejutkan ramai Ahli-ahli Dewan Rakyat.
Keadaan itu menimbulkan beberapa reaksi daripada Ahli Parlimen lain, termasuk ada yang mengucapkan ‘selamat kembali bertugas’ kepada beliau.
Bagaimanapun, Azalina menjelaskan beliau hanya diminta oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun untuk mempengerusikan persidangan buat sementara waktu.
“Saya telah diminta oleh Yang di-Pertua di bawah Peraturan Mesyuarat 7(3), untuk mempengerusikan mesyuarat sementara waktu.
“Ini macam ‘mutaah’, sekejap saja. Mungkin hari Isnin atau Selasa, orang lain,” jawab Azalina sambil berseloroh.
Terdahulu, Azalina dilihat bersedia di tempat duduk berkenaan ketika Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif hampir selesai membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.
Beliau mengambil alih daripada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan Dewan Rakyat sebelum itu.
Keadaan itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen termasuk dari Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Kota Raja, Mohamad Sabu yang meminta penjelasan mengenai penggantian mengejut itu. – Malaysiapost

