MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata terdapat lima gejala utama yang sering dihidapi pesakit yang menghadapi long Covid.
Beliau berkata, menerusi pemantau ke atas pesakit gejala itu termasuk kelesuan membabitkan 79.2 peratus, sesak nafas apabila melakukan aktiviti tertentu (52.6%), batuk (17.2%), kesukaran tidur (14.6%) dan anxiety sebanyak 10.6%.
“Definisi Long Covid adalah keadaan pesakit di mana gejala dan tanda Covid-19 dihidapi melebihi tempoh emat minggu.
“Ini merangkumi dua tahap iaitu ‘Ongoing symptomatic Covid-19’. Gejala dan tanda Covid-19 dalam tempoh 4-12 minggu.
“Post Covid-19 syndrome. Gejala dan tanda Covid-19 melebihi 12 minggu dan dan tidak dapat dikaitkan dengan diagnosis alternatif yang lain,” katanya.
Khairy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Khairy berkata, sehingga kini seramai 12,654 pesakit Covid-19 yang discaj daripada hospital diberi temujanji rawatan susulan di fasiliti kesihatan bagi tujuan pemantauan dan menerima rawatan bagi gejala long Covid.
Beliau berkata, perkhidmatan rehabilitasi komprehensif yang khusus kepada pesakit long Covid telah dilaksanakan di Hospital Sungai Buloh.
“Pelbagai bidang kepakaran terlibat dalam perkhidmatan khusus ini (one-stop center) iaitu Jabatan Perubatan, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Jabatan Perubatan Rehabilitasi dan juga kerjasama dengan Hospital Universiti iaitu Unit Respiratori Hospital UITM.
“Bermula dari November 2020 sehingga 31 Julai 2021, seramai 2,388 pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 yang discaj dari Hospital Sungai Buloh dirujuk bagi perkhidmatan khusus ini.
“Ia merangkumi perkhidmatan susulan secara telekonsultasi dan perkhidmatan susulan secara fizikal. Dari jumlah tersebut, seramai 1,545 (64.6%) mengalami gejala long Covid,” katanya.
Khairy berkata, daripada segi hasil pula, 41.2% pesakit long Covid sembuh dari gejala setelah empat minggu discaj dari hospital.
“Kementerian Kesihatan akan terus memantau dan memberi rawatan kepada pesakit long Covid yang mempunyai indikasi, berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Covid-19- Post Covid-19 Management Protocol,” katanya. – Malaysiapost

