KAMI dibayar gaji yang mewah untuk hadir ke Parlimen, bukan ponteng, demikian kata Syed Saddiq Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar itu kesal kerana Ahli Parlimen terutamanya blok kerajaan tidak mengambil peluang untuk hadir di Dewan Rakyat ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Beliau berkata, sebahagian besar kerusi blok kerajaan terutama yang menempatkan menteri dan timbalan menteri didapati kosong ketika Anwar berucap.
“Ketika Anwar berucap, dewan kosong. Mana menteri dan timbalan menteri?
“Ini masa terbaik untuk berbahas mencari jalan penyelesaian bersama untuk rakyat,” ciapnya di Twitter beliau hari ini.
Ketika perbahasan Anwar sedang berlangsung petang tadi juga, Syed Saddiq bangun meminta celahan daripada Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk menegur menteri dan timbalan menteri yang tidak berada di dewan.
Kemudian, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pantas mencelah sambil memaklumkan beliau mendengar perbahasan dibuat Anwar.
Turut menzahirkan kekecewaannya berikutan ketidakhadiran menteri dan timbalan menteri adalah M. Karupaiya (PH-Padang Serai).
“Banyak kerusi kosong. Sekurang-kurangnya 10 peratus daripada mereka harus hadir. Kita ada Kabinet besar. Kami berdebat, tetapi hanya kerusi yang mendengar,” katanya ketika bangun mencelah. – Malaysiapost
Kredit Foto: Twitter/Syed Saddiq

