Pembangkang tuntut isu sekatan masuk Parlimen tidak berlaku lagi

0
1

[Parlimen] SIDANG Dewan Rakyat, hari ini bermula dengan sedikit ‘kecoh’ apabila pembangkang membangkitkan isu sekatan polis terhadap Ahli Parlimen untuk memasuki Bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Perkara itu dibangkitkan S N Rayer (PH-Jelutong) yang mahu mengetahui atas arahan siapa Ahli Parlimen dilarang masuk ke Parlimen dan pendirian Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berhubung isu itu.

“Saya ingin bertanya berkenaan Aturan 1 E dalam Aturan Mesyuarat iaitu usul memerintah Ketua Polis Negara memberi kemudahan lalu-lalang kepada Ahli-ahli Dewan.

“Berlaku insiden pada 2 Ogos lalu, apabila Ahli-ahli Parlimen pembangkang dalam perjalanan ke Parlimen tetapi di sekat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya harap perkara ini tidak berlaku lagi dan minta Menteri Dalam Negeri jawab. Kami sebagai Ahli Parlimen mempunyai hak hadir ke Parlimen tetapi telah di sekat,” katanya.

Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham, turut bangun dan menyatakan susulan sekatan yang dilakukan terdapat sebahagian Ahli Parlimen yang berkumpul dan kemudian dikenakan kompaun.

“Selepas di sekat ramai Ahli Parlimen kemudian berkumpul di Dataran Merdeka dan dikenakan kompaun.

“Saya ingin dapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan memandangkan polis juga melakukan kesalahan lebih besar iaitu Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana menghalang wakil rakyat dari menjalankan tugas,” katanya.

Speaker Dewan Rakyat, dalam penjelasannya menyatakan beliau tidak menghalang mana-mana Ahli Parlimen untuk masuk ke Parlimen pada hari berkenaan dan meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menjawab perkara itu.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, memaklumkan tindakan yang diambil polis pada hari kejadian adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Sebenarnya isu ini adalah kerana kerajaan ingin menjaga keselamatan Ahli-ahli Parlimen kerana ketika itu berlaku penularan wabak Covid-19 dalam Parlimen.

“Bagaimapun atas sikap kerjasama kerajaan dengan Ahli-ahli Parlimen, kompaun yang telah diberi ketika itu telah dipersetujui dalam perbincangan dengan Menteri Kesihatan untuk turunkan kadar kompaun berkenaan,” jelasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here