AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menyifatkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) semalam, memberi keuntungan kepada pihak masing-masing.
Beliau berkata, MoU kerajaan bersama PH itu, sudah tentu untuk mencari kestabilan dan kematangan dalam politik.
“Justeru, mungkin Parlimen akan senyap seketika. Tidak lagi macam sarkas. Masing masing masuk kandang. Kerja Speaker jadi senang.
“Kalau setakat tuntutan pengundi 18 tahun, BN sudah setuju masa PH memerintah 22 bulan. Syarat BN ialah mesti daftar automatik. Tapi PH yang gagal segerakan perlaksanaannya.
“Yang nampak baru ialah skim perkhidmatan Parlimen. Tetapi faedahnya hanya kepada ahli Parlimen dari segi saraan dan kemudahan lain. Rakyat dapat apa? Siapa yang untung?,” katanya menerusi Facebook.
Bagaimanapun, beliau berkata, PH beruntung kerana Ahli Parlimennya dapat peruntukan pembangunan sama banyak dengan Ahli Parlimen kerajaan.
“Itu cukup selesa membantu mereka mempertahankan kawasan di PRU 15 nanti.
“Manakala, di pihak kerajaan, ia untung kerana PH setuju tidak akan “undi menolak” apa sahaja bill. PH akan ambil sikap berkecuali jika berlaku rasa tidak puas hati.
“PH serah bulat bulat kepada 114 MP Kerajaan. Selagi mereka solid, Warisan, Pejuang dan Muda tidak boleh buat apa apa. Nyawa kerajaan bergantung kepada 114 MP,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Puad berkata, pihak manakah yang akan memperjuangkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dan Tabung Haji, selepas PH dilihat memberi kerjasama kepada kerajaan.
“Pembangkang nampak lemah. “Yes Anwar Yes DAP” timbulkan tanda tanya siapa yang akan perjuangkan RCI Tommy Thomas dan Tabung Haji? Reformasi institusi nampak kabur.
“Apa pun Ismail Sabri lebih berjaya daripada Muhyiddin. Persefahaman rentas parti oleh Muhyiddin pada 13 Ogos gagal kerana PH tolak.
“Tetapi Ismail Sabri buka jalan persafahaman Kerajaan-PH kepada Parti-PH selepas ini. Alang alang menyeluk pekasam,” katanya. – Malaysiapost

