Khairy ingatkan orang ramai terus patuhi SOP

0
1

ORANG ramai harus menyedari kejayaan memerangi Covid-19 bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata.

Sebaliknya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihatkan orang ramai terus mengambil berat terhadap pematuhan SOP biarpun beberapa kelonggaran telah mula dibenarkan susulan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang melibatkan beberapa negeri baru-baru ini.

“Saya ingin tegaskan, kejayaan membawa negara keluar dari pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan, tetapi juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang telah ditetapkan.

“Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Khairy, berdasarkan pemantauan dan analisa Kementerian Kesihatan (KKM), situasi penularan jangkitan Covid-19 di Lembah Klang mula menunjukkan trend penurunan.

Katanya, perkembangan yang positif itu akan membantu memastikan PPN berjalan lancar dan selamat.

“Saya juga sebelum ini telah nyatakan beberapa kali mengenai sasaran kerajaan untuk mula beralih kepada fasa endemik pada akhir Oktober ini.

“Namun, untuk merealisasikan sasaran ini, ia memerlukan kerjasama seluruh masyarakat untuk terus mematuhi SOP serta mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri.

“Jika perkara ini gagal diamalkan dan dipatuhi, kebimbangan saya adalah kita tidak akan mampu beralih ke fasa endemik, sekali gus membantutkan usaha pemulihan negara oleh kerajaan,” katanya.

Khairy memberi nasihat itu dipercayai berikutan orang ramai seperti dirasuk dengan berpusu-pusu mengunjungi tempat tumpuan minggu lalu.

“Saya faham ramai teruja dengan kelonggaran ini terutama setelah hampir tiga bulan berada dalam Fasa 1 PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh sebelum itu.

“Bagaimanapun, aktiviti seperti ini pasti menyebabkan berlakunya perkumpulan orang ramai dan pematuhan SOP yang rendah.

“Penting untuk saya ingatkan, vaksinasi lengkap bukan alasan untuk kita leka dalam melakukan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mencuci tangan dengan kerap,” katanya.

Tindakan itu, ujar beliau, kelihatan mudah, tetapi mampu melindungi diri daripada jangkitan virus Covid-19.

Justeru, beliau berharap masyarakat dapat memanfaatkan kelonggaran yang diberikan dan terus mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian.

“Ingatlah, kejayaan membendung pandemik ini melibatkan penglibatan dan pendekatan menyeluruh kerajaan serta masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here