Kerajaan laksana pelan jangka panjang bantu rakyat – PM

0
2
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat PPV pandu lalu di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol hari ini. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

KERAJAAN akan meneruskan dasar dan strategi dalam meningkatkan pendapatan serta kuasa beli rakyat terutama isi rumah miskin dalam kalangan B40 susulan pendapatan isi rumah kasar bulanan yang menurun sehingga 10.3 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang diterbitkan pada Ogos lalu, purata pendapatan kasar bulanan isi rumah telah menurun sebanyak 10.3 peratus iaitu daripada RM7,901 pada 2019 kepada RM7,089 pada 2020.

“Insiden kemiskinan juga telah meningkat kepada 8.4 peratus berbanding 5.6 peratus pada 2019

“Puncanya adalah pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan ekonomi rakyat Malaysia menguncup sebanyak 5.6 peratus pada 2020,” katanya di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu menjawab soalan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bertanyakan apakah langkah diambil kerajaan dan penjelasan berkenaan pendapatan isi rumah kasar bulanan yang menurun sehingga 10.3 peratus.

Beliau berkata, di samping itu kadar pengangguran juga meningkat dengan ketara kepada 5.3 peratus pada Mei 2020 berbanding 3.3 peratus pada 2019.

“Lebih kurang 600,000 isi rumah daripada kumpulan M40 yang berpendapatan antara RM4,850 dan RM10,959 sebulan telah turun ke kumpulan B40,” katanya.

Menurutnya, bagi mengurangkan tekanan beban individu dan isi rumah yang terkesan, kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan di bawah lapan pakej rangsangan ekonomi.

“Antaranya adalah Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) Fasa 1, yang pada keseluruhannya berjumlah RM24.9 bilion dan telah membantu 10.9 juta individu isi rumah.

“Selain itu moratorium bayaran balik pinjaman; diskaun bil elektrik dan bakul makanan,” katanya.

Menurutnya, bantuan-bantuan berkenaan bagaimanapun bersifat jangka masa pendek.

“Bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli.

“Ini terutama dengan menyediakan program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan menambah baik akses daripada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan; menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan dan meningkatkan perlindungan sosial, ” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Port Dickson itu mengenai dana tambahan RM45 bilion, Ismail Sabri berkata, langkah jangka pendek hanya untuk tempoh sementara.

“Perancangan kerajaan untuk jangka sederhana adalah untuk memberikan latihan usahawan bagi menambah pendapatan atau mencari punca pendapatan yang baharu.

“Untuk jangka panjang adalah dengan membuka semula ekonomi sekali gus memberi rakyat peluang untuk mendapat pekerjaan, memulakan perniagaan untuk membantu mereka meneruskan hidup dan kita percaya akhirnya jurang kemiskinan atau peratusan kemiskinan akan dapat di kurangkan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai lanjutan pemberian moratorium tanpa faedah terakru kepada rakyat, beliau berjanji akan membincangkannya dengan Menteri Kewangan.

“Kita akan bincang cadangan kerana kerajaan faham situasi yang dihadapi oleh rakyat. Kita akan cuba membantu sebaik-baiknya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here