Definisikan konsep Keluarga Malaysia secara terperinci

0
1

[Parlimen] KERAJAAN perlu mendefinisikan maksud sebenar konsep Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara terperinci agar rakyat lebih memahaminya.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian), berkata secara asasnya konsep berkenaan dilihat sudah bagus dan rakyat kini menunggu perincian terhadap konsep berkenaan.

Beliau mencadangkan agar konsep itu didefinisikan segera oleh kerajaan terutama melalui Kementerian Perpaduan Negara.

“Keluarga Malaysia ini dilihat belum lagi didefinasikan secara teliti apakah maksudnya. Jika dahulu kita ada program 1Malaysia maka ada macam-macam dibawahnya.

“Ada Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia, Pusat Transformasi 1Malaysia dan macam-macam lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah usul menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dibacakan oleh Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun.

Ahmad mencadangkan agar konsep berkenaan didefinisikan secara terperinci dengan kemungkinan adanya Klinik Keluarga Malaysia, Kedai Keluarga Malaysia, Sekolah Keluarga Malaysia dan banyak lagi yang menggunakan jenama itu supaya ia boleh disebar luaskan dan menjadi nama yang cukup bagus.

Sementara itu, Azizah bersetuju dengan cadangan berkenaan dan percaya Menteri yang bertanggungjawab akan dapat mendefinisikan apa sebenarnya Keluarga Malaysia.

“Tetapi bagi saya apa yang di tunjukkan di Dewan ini dengan termeterainya Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang menunjukkan satu kesedaran pada kita semua.

“Kitalah sebagai pemulanya, kitalah yang memberikan contoh sebagai satu Keluarga Malaysia yang erat hubungan kita walaupun berlainan pandangan politik tetapi boleh dapat bersama dalam usaha menyelesaikan masalah negara,” katanya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen memberi contoh terbaik kepada rakyat untuk dijadikan ikutan, namun sebaliknya jika sering bertelagah.

“Apalah guna kita menjadi wakil rakyat, jika hanya menjerit jerit sahaja antara satu sama lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here