Waspada janji manis Bersatu yang akan melemahkan Umno

0
1

UMNO diingatkan berwaspada dengan sandiwara dan jangan mudah ‘termakan’ dengan janji-janji manis yang disajikan Bersatu.

Perkara itu disuarakan oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abd Aziz Kaprawi yang berkata, parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sedang giat memastikan ianya terus relevan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Katanya, Bersatu kini sedang giat memperkuatkan kedudukan parti itu dengan cuba memancing ahli Umno yang berpengalaman dalam menguruskan hal-hal berkaitan perjalanan pilihanraya termasuk aktiviti berkempen.

“Saya amat berharap agar tiada ahli atau pemimpin Umno sendiri yang ‘termakan’ dengan janji-janji manis atau habuan yang disajikan oleh Bersatu untuk menyertai parti mereka.

“Umno harus sentiasa waspada dengan gerakan politik Bersatu menjelang PRU15,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Aziz menjelaskan faktor sasaran demografi pengundi Bersatu juga terlalu mirip dengan Umno yang akan mengakibatkan dua parti tersebut bakal bersaing di kawasan Parlimen yang sama pada PRU15.

“Bersatu amat memerlukan persetujuan Umno untuk tidak bertanding di kawasan Parlimen yang bakal mereka tandingi bagi memastikan parti mereka terus relevan.

“Umno pula melalui Perhimpunan Agung Umno telah menetapkan bahawa kerjasama politik bersama Bersatu akan terputus menjelang PRU15 dan akan bertanding di mana Bersatu bakal bertanding,” katanya.

Justeru, bekas Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata, Bersatu tidak mempunyai kaedah lain selain perlu meraih sokongan melalui gerakan politik subversif iaitu dengan melemahkan Umno di setiap kawasan yang ingin ditandinginya.

Kenyataan Abd Aziz itu diperkuatkan lagi susulan tekad Muhyiddin yang berjanji untuk memimpin Bersatu dan Perikatan Nasional memenangi PRU15 nanti.

Dalam ucapan sempena sambutan lima tahun penubuhan Bersatu minggu lalu, Muhyiddin menasihati ahli Bersatu untuk fokus memperkuat sokongan akar umbi parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here