Panglima ATM: Majoriti pesara tentera alami masalah kewangan

0
1

MAJORITI anggota tentera akan mengalami masalah kewangan selepas bersara, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Affendi berkata antara punca berlaku perkara itu adalah disebabkan ketiadaan peluang kerjaya kedua bagi menjamin kelangsungan hidup selepas tamat perkhidmatan.

Menurutnya, ATM sedang mencari pendekatan menyelesaikan isu itu termasuk menggalakkan isteri anggota mencari peluang pekerjaan secara sambilan bagi membantu menjana pendapatan keluarga.

“Daripada pihak ATM, kita perlu memastikan anggota berkenaan bersedia dari segi mental mengambil fasa seterusnya (persaraan) untuk hidup lebih selesa.

“Rata-rata anggota ATM bersara pada usia 40 tahun, mereka ada komitmen dan perbelanjaan dengan anak tak habis sekolah lagi, kereta dan rumah tak habis bayar (pinjaman dengan bank),” katanya seperti dilaporkan BH hari ini.

Affendi berkata peruntukan sebanyak RM105.3 juta diberikan kerajaan kepada ATM untuk menjaga hal kebajikan veteran secara menyeluruh pada tahun ini tidak mencukupi.

“Walaupun Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dipertanggungjawab memantau dan memelihara kebajikan mereka, usaha dan insentif diberi bukan bersifat kekal.

“Keberkesanan bantuan banyak bergantung kepada peruntukan disalurkan kerajaan, selain sumbangan dan ihsan syarikat atau individu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here