MoU PH-kerajaan: Pejuang mahu kekal sebagai blok ketiga – Mukhriz

0
1

“KAMI tak akan terikat dengan MoU (memorandum persefahaman), tetapi bukan kuasa kami untuk halang MoU itu,” kata Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata, parti itu tidak berhasrat menandatangani sebarang MoU dengan kerajaan kerana mahu mempertahankan hak mereka sebagai blok ketiga.

Beliau berkata, dengan cara itu pihaknya memiliki kebebasan untuk menyokong atau menolak sebarang keputusan dibuat kerajaan.

“Kalau pihak Pakatan Harapan (PH) merasakan sesuai, itu terpulang kepada mereka,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau mengulas kenyataan Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH, Anthony Loke, yang menafikan mereka mengetepikan parti pembangkang lain dalam proses rundingan dengan kerajaan berhubung MoU Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani, hari ini.

Sementara itu, Mukhriz mengesahkan PH mengadakan sesi penerangan secara maya berkenaan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik kepada kepemimpinan Pejuang petang semalam, namun ia bukan secara terperinci.

Beliau juga tidak pasti sama ada cadangan dalam MoU dibuat PH dimuktamadkan dengan pihak kerajaan.

Namun Ahli Parlimen Jerlun itu mengakui apa yang dibangkitkan kerajaan dan PH dalam MoU berkenaan seperti Undi 18 dan Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti sebagai perkara yang baik.

“Bagaimanapun semua perkara ini perlu diperhalusi sebelum kita membuat sebarang pendirian. Sebab kita tak tahu apa sebenarnya kandungan terperinci setiap perkara itu.

“Saya kira semua perkara ini akan dibangkitkan dalam Parlimen, maka waktu itu kita boleh teliti secara terperinci. Menjadi hak kami untuk sokong atau tolak, kami tak terikat atas sebab menandatangani satu MoU,” jelasnya.

Muhkriz memberikan contoh RUU antilompat parti yang dianggapnya mempunyai banyak aspek yang perlu diperhalusi.

Katanya, persoalan akan timbul sekiranya penjajaran semula politik terpaksa dibuat sejurus pilihan raya umum (PRU) sehingga meninggalkan gabungan asal kerana tiada parti memiliki majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

“Waktu itu mestilah ada rundingan dan kadang-kadang rundingan itu membabitkan yang bertentangan sewaktu kempen pilihan raya.

“Tetapi atas sebab nak stabilkan politik negara, mungkin diketepikan apa juga pendirian yang bertentangan itu untuk sama-sama membentuk sebuah kerajaan.

“Maka, dalam keadaan macam itu, adakah (meninggalkan gabungan) itu dianggap sebagai lompat parti? Adakah dibezakan antara kerajaan yang terbentuk kerana lompat parti sejurus PRU dengan di tengah penggal seperti Langkah Sheraton,” katanya.

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik akan ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua parti dalam PH di Dewan Bankuet, Parlimen pada jam 5 petang ini.

Menurut Anthony, satu taklimat khas berkenaan kandungan MoU disampaikan pimpinan tertinggi PH kepada Mukhriz, petang semalam manakala wakil Warisan tidak hadir walaupun dijemput.

“Kami difahamkan Pejuang dan Warisan belum bersedia menandatangani MoU dengan kerajaan. PH menghormati pendirian mereka. Namun, ia tidak bermaksud kita tidak boleh bekerjasama dalam isu yang lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here