MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan Memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) demi menstabilkan suhu politik dalam negara.
Hishammuddin berkata, sekiranya berpandukan kepada niat persefahaman itu, keabsahan kerajaan baharu atau pengundian tidak perlu ditimbulkan.
Beliau berkata, sekiranya perkara tersebut tetap berlaku, keadaan itu tidak menjurus kepada harapan beliau untuk melihat wujudnya kestabilan politik dalam negara.
“Rakyat akan menilai tindakan mereka yang hari-hari timbulkan ketidaktentuan dalam suasana politik khususnya dalam sesi Parlimen yang hari ini telah pun bermula.
“Saya harap bahawa apa diusahakan Perdana Menteri berhubung kait dengan persefahaman ini diterima baik oleh semua pihak, bukan memegang kepada pertimbangan politik.
“Tetapi berpegang kepada hasrat untuk kestabilan politik supaya kita boleh fokus kepada agenda lebih penting,” katanya.
Hishammuddin berkata, beliau dari dahulu lagi mengharapkan untuk melihat kestabilan dalam landskap politik negara.
“Kestabilan itu bukan untuk kuasa tapi untuk bantu kita yang diberikan amanah memimpin kementerian tertentu dan menerajui kepimpinan negara.
“Ini dilakukan supaya kita dapat fokus dalam usaha membawa negara keluar dari belenggu pandemik dengan secepat mungkin,” katanya.
Kerajaan dan PH hari ini melakar satu sejarah dengan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata memorandum itu, membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.
Menurutnya, ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Sha, sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-14, 2021 di Parlimen, hari ini. – Malaysiapost

