DUA maut dipercayai dilanggar sebuah kenderaan dipandu secara melawan arus di Kilometer 8.5 Lebuhraya Persekutuan, awal pagi tadi.
Nahas membabitkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki dipercayai secara melawan arus sebelum bertembung dengan Proton Wira Aeroback.
Akibat pelanggaran itu, dua mangsa yang menaiki Proton Wira Aeroback iaitu seorang wanita yang juga pemandu bersama penumpang lelaki di bahagian hadapan tersepit.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.51 pagi dan tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian, lapor Berita Harian.
“Bomba mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Kedua-dua mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Norazam berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Mangsa maut ialah Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamira Dzul Asri, 19, masing-masing beralamat di Klang dan Pelabuhan Klang.
Pemandu Mitsubishi Triton berusia 24 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan. – Malaysiapost
.
Foto Kredit: Bomba/Berita Harian

