
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan hari ini Malaysia mencatatkan petanda prospek pemulihan ekonomi yang semakin cerah.
Beliau berkata, aliran masuk bersih modal pelabur asing yang didorong oleh kemajuan positif Pelan Pemulihan Negara (PPN) menetapkan nada dan hala tuju pemulihan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh untuk suku keempat 2021.
Katanya, sejumlah RM7.7 bilion telah dicatatkan dari segi aliran masuk modal pelabur asing pada Ogos yang merupakan nilai tertinggi sejak Jun 2020 dan nilai tersebut juga telah mengimbangi aliran keluar untuk dua bulan sebelum itu.
“Pelabur asing telah menjadi pembeli utama dengan pelaburan bersih di pasaran bon ringgit sejumlah RM6.6 bilion (Julai 2021).
“Ini merupakan bukti keyakinan pelabur dan pengurus dana terhadap prospek pertumbuhan negara serta kesinambungan dasar-dasar kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, selain itu nilai harga pasaran ekuiti negara juga menjadi tarikan utama aliran masuk dana pelabur asing berbanding pasaran ekuiti negara lain di rantau ini.
Menurutnya, setakat Ogos tahun ini, pegangan pelabur asing bagi bon Kerajaan Malaysia meningkat sebanyak RM23.9 bilion kepada RM226.1 bilion.
“Kerajaan menjangkakan bahawa momentum pemulihan pada suku keempat 2021 ini akan diteruskan pada tahun hadapan, di mana faktor kepada pertumbuhan negara akan memanfaatkan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) 2022 Malaysia.
“Bersama kita memantapkan lagi PPN yang telah menambah baik situasi keseluruhan kesihatan awam, serta pemulihan pembukaan sektor ekonomi secara beransur-ansur dengan adanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya. – Malaysiapost
