POLIS menahan seorang lelaki kerana dipercayai mencuri tiga tin susu formula kanak-kanak di sebuah premis perniagaan di Miri Times Square di Miri, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri di Taman Desa Senadin pada 8 malam, susulan laporan polis dibuat wakil peniaga, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira 2 petang semalam dan kelakuan suspek turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
“Suspek dilihat berjalan memasuki premis dan terus ke sudut yang menempatkan susu, sebelum meninggalkan premis dalam keadaan tergesa-gesa dan beredar dengan kereta,” katanya hari ini.
Menurut Hakemal, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai anak masih bayi disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, susu yang dicuri itu bernilai RM294. – Malaysiapost

