Pengerusi MPN bangga kejayaan Labuan

0
1
muhyiddin yassin

KEJAYAAN Labuan memberi suntikan vaksinasi kepada lebih 68,500 penduduk dewasa di wilayah itu adalah pencapaian membanggakan dan memberi inspirasi kepada semua dalam perang menentang Covid-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kejayaan itu membuktikan usaha dan perancangan kerajaan dalam ‘roll-out’ Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini mula menunjukkan hasil.

Beliau berkata, ia hasil usaha semua pihak sama ada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan rakyat serta percaya Malaysia akan terus berada di landasan tepat dalam mencapai imuniti kelompok, sekali gus memulihkan ekonomi negara.

“Tahniah kepada penduduk Labuan. Terus patuhi SOP dan teruskan kawalan risiko kendiri untuk memastikan penularan wabak Covid-19 sentiasa terkawal.

“Insya-Allah, saya yakin negeri-negeri lain juga akan dapat mencapai kejayaan ini dalam masa terdekat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, pada Selasa lalu 100 peratus populasi dewasa di Labuan telah divaksinasi penuh di bawah PICK dan strategi kerajaan mempertingkatkan kadar vaksinasi ketika kes meningkat di Labuan pada Mei dan Jun lalu terbukti berkesan.

Katanya, ia apabila Labuan berjaya mencatatkan penurunan kemasukan pesakit Covid-19 di hospital selain pengurangan penggunaan katil ICU dan ventilator.

“Sepertimana kita semua maklum, Labuan adalah wilayah pertama yang beralih ke Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Warga Labuan kini dapat menikmati kelonggaran di semua sektor ekonomi dan sosial tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baharu,” katanya.

Menurutnya, pencapaian itu tidak akan dapat dicapai tanpa kerja keras Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), ditambah kerjasama erat kesemua agensi kerajaan, Majlis Perwakilan Penduduk serta rakyat Labuan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 2 bermula Jumaat ini.

“Dengan kelonggaran yang diberikan ini, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Mari kita terus berusaha dan berdoa agar #KeluargaMalaysia terus berjaya dalam perang menentang Covid-19,” katanya. Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here