PEDOFILIA, Alladin Lanim, 40, yang sudah disabitkan kesalahan di Mahkamah Sesyen, Kuching pada 17 Ogos lalu, bakal berdepan beberapa pertuduhan baharu jenayah terhadap kanak-kanak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pertuduhan itu akan dicadangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan dalam masa terdekat.
Menurutnya, berdasarkan maklumat pada 5 Julai lalu, dalam serbuan anggota Bahagian D11 dan D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak berjaya menangkap Alladin kerana memiliki ribuan bahan pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbitnya.
“Lima kanak-kanak dari kawasan kejiranan Alladin telah tampil bersama ibu bapa masing-masing membuat laporan polis untuk membantu dalam siasatan.
“Pada 16 dan 17 Ogos lalu, suspek dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching dan mengaku bersalah atas 18 pertuduhan jenayah seks.
“Berikutan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 48 tahun enam bulan serta 15 sebatan terhadapnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes Alladin bukanlah kes tunggal berkaitan jenayah seksual kanak-kanak di negeri itu.
Katanya, sejak Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dikuatkuasakan pada 10 Julai 2017 sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 260 kes disiasat mengikut akta itu.
“Sebanyak 76 peratus daripadanya sudah didakwa di mahkamah dengan lebih 3/4 daripadanya sudah dijatuhkan hukuman penjara manakala selebihnya masih dalam proses perbicaraan,” katanya.
Mengenai laporan media sebelum ini bahawa Alladin ditahan di pusat kuarantin di Kuching selepas dia pulang dari Semenanjung pada 2016, Aidi berkata, perkara itu adalah tidak tepat.
“Ini kerana Alladin yang bekerja sebagai konduktor lapangan di sebuah ladang kelapa sawit di Biawak, Lundu tidak pernah keluar dari Sarawak sejak pulang ke negeri ini pada 2016.
“Tangkapan terhadap suspek dibuat dengan kerjasama Bukit Aman dan polis Sarawak bersama polis Australia serta beberapa agensi lain di negara ini.
“Suspek menjalankan kegiatannya di ‘dark web’ tanpa pendedahan identiti dan risikan dijalankan oleh Bukit Aman bersama polis Australia.
“Polis Sarawak membekalkan maklumat serta risikan untuk mengesan lokasi suspek sehingga berjaya menahannya,” katanya. – Malaysiapost

