DATUK Seri Najib Razak membuat laporan polis terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini, kerana mendakwa terdapat penyalahgunaan kuasa dan penggunaan dokumen palsu berkaitan kes tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah hampir RM1.7 bilion.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sejak kebelakangan ini, beliau menerima banyak maklumat mengenai denda cukai tambahan yang dikenakan terhadapnya.
“Ada yang datang menemui saya dan memohon maaf serta memberitahu saya bahawa kes cukai tambahan RM1.7 bilion ini sebenarnya telah disiasat tiga kali sejak 2018.
“Malah mereka sendiri akui, setelah tiga kali siasatan itu dijalankan dengan penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukan saya dan tiada penalti cukai yang patut dikenakan terhadap saya.
“Namun, selepas tiga kali siasatan itu selesai dan hasilnya jelas saya tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan untuk teruskan penalti cukai terhadap saya kerana telah diarahkan oleh ahli-ahli politik tertentu,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, perkara itu sudah tentu menggusarkan kerana arahan tindakan itu lanjutan daripada ahli politik, bukan bersandarkan kepada fakta siasatan, serta asas undang-undang.
“Malah, ini membuang masa banyak pihak terutama diri saya sendiri dan jelas menyalahgunakan kuasa.
“Tetapi disebabkan oleh tindakan pegawai tertinggi LHDN itu selepas menerima arahan dari ahli politik tertentu, saya dikenakan cukai ke atas wang yang disebut RM2.6 bilion yang telah dikembalikan kepada penghantar empat bulan selepas diterima, tetapi masih dikirakan sebagai pendapatan.
“Kedua, wang yang dipindah dari akaun bank atas nama saya ke satu lagi akaun atas nama saya juga dikira sebagai pendapatan.
“Tidak cukup dengan itu, arahan juga diterima oleh mereka untuk tidak membenarkan kes saya dibawa ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) untuk mempertikaikan keabsahan pengiraan LHDN untuk rayuan,” katanya.
Mengulas lanjut, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu berkata, tindakan mereka itu diteruskan dengan membankrapkan beliau tanpa diberikan peluang untuk pertikaikan keabsahan pengiraan taksiran.
“Jadi berdasarkan maklumat serta bukti kukuh saya terima, saya telah membuat laporan polis terhadap LHDN tengah hari ini sebab saya dimaklumkan secara sahih bahawa pegawai-pegawai terbabit serta ahli-ahli politik tertentu dipercayai dengan jelas melanggar Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta SPRM yang membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu,” katanya
Berhubung itu, beliau mempelawa semua pihak terutamanya juruaudit cukai untuk memeriksa fail cukai pendapatannya yang telahpun dikemukakan kepada mahkamah.
“Saya juga akan menulis surat kepada pihak LHDN bagi memberi kebenaran kepada mereka untuk dedahkan fail cukai pendapatan saya bagi tahun-tahun berkenaan kepada mana-mana pihak yang berminat supaya mereka boleh lihat sendiri keabsahan denda cukai tambahan terhadap saya yang langsung tidak masuk akal dan melangkaui undang-undang.
“Saya percaya polis akan siasat secara mendalam dan menegakkan keadilan terhadap saya,” katanya. – Malaysiapost

