ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu ini di negeri-negeri yang menyaksikan peningkatan penularan wabak Covid-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ATM hanya menunggu pengesahan lokasi oleh pihak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu.
Katanya, ketika ini sebanyak 13 PPV jenis pandu lalu telah dibuka ATM di seluruh negara iaitu lapan di Semenanjung, dua di Sarawak dan tiga di Sabah.
“Dengan adanya PPV jenis pandu lalu ini, sebanyak 44,853 dos suntikan telah selesai diberikan.
“Kini kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu ini akan ditingkatkan lagi termasuk bagi manfaat masyarakat awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Hishammuddin berkata demi memenuhi agenda nasional khususnya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Pasukan Vaksinasi Perubatan Medan ATM atau Army Combat Medic Vaccination Team (CMVT) telah diaturgerak sejak 22 Jun lalu.
Katanya, pasukan tersebut memiliki kepakaran anggota, aset serta kelengkapan logistik yang mencukupi, dengan keutamaan ACMVT ialah membantu KKM mencapai kawasan-kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak.
“Setakat ini 25 pasukan ACMVT telah diaturgerak iaitu 18 di Sarawak dan tujuh di Sabah – Alhamdulillah, pasukan berkenaan telah sampai ke 92 penempatan dan berupaya melaksanakan 11,001 suntikan dos vaksin kepada penduduk.
“Tiada istilah berundur sebelum selesai dalam disiplin penugasan ATM.
“Saya telah tegaskan baru-baru ini, usaha membantu KKM untuk memberi vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman akan dilipatgandakan dan ACMVT akan ditambah mengikut keperluan KKM,” katanya lagi. – Malaysiapost

