Pembinaan Hospital Papar baharu tergendala, KKM ambil tindakan segera – KJ

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat keputusan segera berhubung tindakan sepatutnya diambil ke atas kontraktor yang gagal menyiapkan pembinaan Hospital Papar, Sabah yang baharu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata projek pembinaan hospital berkenaan sepatutnya siap pada tahun lalu, namun sehingga hari ini, kemajuan pembinaan projek ini baru mencapai 22 peratus sahaja.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk berbincang dan memutuskan langkah yang sewajarnya diambil.

“Antara pilihan yang ada termasuklah untuk menamatkan kontrak bagi kontraktor sedia ada. Tetapi kita akan lakukan penilaian terlebih dahulu, apakah sebab berlakunya kelewatan ini dan KKM akan membuat keputusan segera berhubung tindakan yang sepatutnya diambil ke atas kontraktor berkenaan.

“Sememangnya Papar memerlukan sebuah fasiliti hospital dengan kapasiti yang lebih besar. Hospital yang sedia ada ini terlalu kecil untuk menampung kes-kes yang datang mendapatkan rawatan. Sebab itulah pembinaan hospital yang baharu ini perlu disegerakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Papar, yang terletak kira-kira sejam dari Kota Kinabalu, bagi memantau kemajuan pembinaan Hospital Papar yang baharu.

Khairy berkata, beliau juga sempat meninjau dewan bedah yang baharu siap dibina di Hospital Papar yang lama, bagaimanapun, dewan bedah itu tidak dapat digunakan kerana pembinaannya tidak mengikut spesifikasi yang betul untuk sebuah dewan bedah.

“Jadi saya telah minta Ketua Setiausaha KKM untuk membuat penilaian sama ada dewan bedah tersebut boleh diselamatkan ataupun tidak. Saya telah arahkan supaya laporan dibentangkan kepada saya dalam waktu terdekat,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan akan meneruskan lawatan kerja untuk hari kedua dengan mengikuti aktiviti Program Outreach Pemberian Vaksin Kepada Penduduk Pulau Larapan di Semporna, hari ini.

“Setelah itu, saya akan mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tawau dan juga meninjau tapak hospital medan di lapangan terbang lama di Tawau,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here