JENAMA sukan global PUMA, bersama dengan rakan pengedarnya – ACTIVE SPORTS hari ini mengumumkan kerjasama dengan Malaysian Football League (MFL).
Melalui kerjasama itu, PUMA bakal menjadi pembekal bola pertandingan rasmi bagi semua pertandingan di bawah kendalian MFL.
Perjanjian jangka panjang ini akan bermula pada pertandingan Piala Malaysia 2021, dengan PUMA menyediakan semua bola perlawanan rasmi sehingga 2024.
Selain Piala Malaysia, pertandingan di bawah kelolaan MFL merangkumi Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Challenge Cup.
MFL menerusi kenyataan berkata ia muncul liga bola sepak pertama di Asia bersama PUMA yang secara rasmi menghasilkan bola perlawanan edisi khas sekali gus mengukuhkan lagi portfolio PUMA di peringkat global.
“Perjanjian ini bertambah menarik buat MFL apabila PUMA juga merupakan pembekal bola perlawanan rasmi La Liga, dibintangi duta PUMA berkelas dunia seperti Luis Suarez dan Antoine Griezmann serta turut digunakan dalam saingan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).
“Bola pertandingan rasmi edisi khas MFL untuk TM Piala Malaysia 2021 bakal menggabungkan teknologi terkini yang dibangunkan oleh PUMA, direka untuk melengkapkan pelbagai gaya permainan selain menampilkan logo Piala Malaysia 100-Tahun,” katanya. – Malaysiapost

