Industri Kreatif dibenarkan beroperasi mulai Khamis ini – PM

0
1
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada media di Pusat Pengagihan Vaksin (PPV) PWTC hari ini.

PENGGIAT industri kreatif yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), dibenarkan kembali aktif, bermula 9 September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersetuju melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif, yang diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja.

“Kelonggaran ini juga bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, persetujuan untuk memberi kelonggaran itu tertakluk kepada syarat SOP diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ia termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

“Kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya.

Tambahnya, industri kreatif menyumbang dua peratus atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

“Jadi, selain membolehkan lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran ini dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ia sekali gus menggerakkan kembali semua inisiatif serta program direncanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui FINAS, MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA),” katanya.

Sehubungan itu, penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN, bagi aktiviti-aktiviti seperti berikut:

  1. Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.
  2. Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang tebh lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30% di ruang studio.
  3. Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin.
  4. Indoor busking kepada individu yang telah lengkap vaksin.
  5. Persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin: 6. Aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50% di ruang dewan tayangan pawagam.
  6. Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra -daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30% di ruang premis.
  7. Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji)
    dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30% di ruang premis.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata keputusan itu antara usaha berterusan kerajaan yang prihatin untuk merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif.

“Saya ingin menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembukaan sektor ini supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here