SEORANG bayi perempuan dipercayai dilahirkan kurang dari 12 jam ditemui di atas rumput berhampiran rumah kongsi di Precint 3, Taman Ara Sendayan, Seremban, hari ini.
Bayi masih bertali pusat itu ditemui seorang lelaki kira-kira jam 11.50 pagi sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan seorang lelaki memaklumkan dia menjumpai bayi yang ditinggalkan di atas rumput berhampiran rumah kongsi.
“Hasil siasatan awal mendapati, bayi perempuan masih mempunyai tali pusat dan uri disyaki baru dilahirkan kurang dari 12 jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Said berkata, pihaknya belum dapat mengenalpasti bangsa bayi itu dan dia dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
Katanya, bayi terbabit tidak mengalami kecederaan namun terdapat kesan gigitan serangga.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa atau orang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak berusia kurang daripada 12 tahun mendedahkan dan membuang bayi berkenaan,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh salurkan kepada pihak polis. – Malaysiapost

