KMUM gesa kerajaan laksana segera Undi 18

0
1

KESATUAN Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengambil maklum akan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching mengenai penurunan usia mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun menjelang 31 Disember 2021.

KMUM menerusi kenyataan berkata pihaknya amat bersetuju dengan keputusan mahkamah tersebut untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“KMUM ingin menggesa pihak kerajaan supaya bertindak secara lebih profesional dan menghormati keputusan mahkamah untuk mengimplementasikan had umur minima 18 tahun untuk para pengundi tanpa melengahkan masa.

“Pihak KMUM juga mengambil maklum dan sedar bahawa terdapat segelintir lapisan mahasiswa dan belia yang tidak mempunyai akses kepada perkembangan politik semasa.

“Oleh sebab itu, pihak KMUM menggesa agar pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi menjalankan program untuk mendidik para pengundi,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Beliau turut membenarkan permohonan kelima-lima anak muda untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden (Perdana Menteri ketika itu, kerajaaan dan SPR) yang menangguhkan pelaksanaan Seksyen 3 berkenaan selepas September 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here