PEGUAM peguam dan aktivis, Siti Kasim hari ini memohon maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.
Ia susulan tuduhannya yang menyatakan Naib Presiden PAS itu memakai jam tangan mewah jenama Rolex menerusi satu ciapan di Twitter baru-baru ini.
“Minta maaf Ustaz sebab saya memang salah,” ciap Siti Kasim menerusi Twitternya hari ini.
Semalam Idris memaklumkan jam tangan digunakannya adalah jenama Buruj yang dipakainya sejak sekian lama untuk memudahkan beliau tahu waktu solat serta arah kiblat.
Beliau turut memuatnaik jam tangan tersebut serta tangkap layar tuduhan Siti Kasim mengenainya di Facebook.
“Untuk pengetahuan, jam Buruj ni lama dah saya pakai, senang nak tahu waktu solat dan arah kiblat.
“Boleh solat kat mana-mana. Dalam pejabat yang baru masuk pun boleh solat sebab senang nak tentukan arah kiblat,” katanya.
Menerusi tangkap layar daripada Twitter Siti Kasim, aktivitis itu meminta pengikut laman sosialnya memeriksa jam tangan dipakai Idris, didakwa berjenama Rolex dalam satu gambar memaparkan menteri agama itu menadah tangan berdoa. – Malaysiapost

