SELARAS aspirasi Keluarga Malaysia, Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad, Pelitawanis TNB Kebangsaan menyahut seruan itu dengan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada Hospital Kuala Nerang.
Sumbangan melalui Pelitawanis TNB Cawangan Alor Setar dengan kerjasama Pelitawanis TNB Cawangan Jitra, itu berupa satu unit mesin hemodialisis dan 10 kerusi roda bagi kegunaan pesakit di hospital tersebut.
Majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini.
Dalam ucapannya, Mahdzir mengucapkan terima kasih kepada Pelitawanis TNB atas inisiatif untuk mengumpul sumbangan dan seterusnya menyalurkannya dalam bentuk mesin hemodialisis serta kerusi roda.
“Sumbangan tersebut amat bermakna kepada penduduk di Parlimen Padang Terap ini dah boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak pengurusan Hospital Kuala Nerang, sekali gus meningkatkan lagi tahap perkhidmatan hospital kepada rakyat,” katanya.
Tambah Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, dana bagi membeli mesin yang anggaran harganya bernilai RM40,000 seunit dan 10 kerusi roda itu adalah hasil daripada kutipan Majlis Malam Amal Pelitawanis TNB 2020.
Sebanyak 37 unit mesin hemodialisis telah diagihkan ke seluruh negara melalui Pelitawanis TNB di peringkat cawangan.
Persatuan yang dianggotai kakitangan wanita dan isteri kakitangan TNB itu aktif menjalankan pelbagai program CSR bersama masyarakat terutama menyantuni golongan B40 dan asnaf yang terkesan akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

