Peguam Negara Derhaka, lupa titah Agong? – PH

0
2

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) melahirkan rasa amat terkejut setelah meneliti kenyataan media Peguam Negara semalam, yang menyatakan undi percaya tidak perlu dilakukan di Parlimen apabila Dewan Rakyat mula bersidang 13 September ini.

Menerusi kenyataan hari ini, ia berkata kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti semasa sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.

Menurut PH, menerusi kenyataan media Istana Negara 18 Ogos 2021, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa “Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”.

“Titah Seri Paduka Baginda ini turut ditekankan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, dan keperluan undi percaya ini telah dipersetujui semua ketua parti.

“Penting diingatkan bahawa Peguam Negara telah hadir, menjadi saksi malah mendengar sendiri titah Seri Paduka Baginda sewaktu sesi menghadap ini.

“Di mana logik dan kewarasan Peguam Negara apabila berkata kuasa Seri Paduka Baginda melantik Perdana Menteri boleh ditidakkan dengan satu usul undi percaya di Parlimen apabila pembentangan usul undi percaya itu dititah sendiri oleh Seri Paduka Baginda,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut Majlis Presiden PH lagi, tindakan seseorang Perdana Menteri yang dilantik Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan Perdana Menteri terdahulu seterusnya mengemukakan usul undi percaya di Parlimen bagi mengabsahkan sokongan majoriti adalah tindakan yang punyai duluan (precedent) di Parlimen Malaysia.

Kenyataan itu juga menyebut, undi percaya pernah berlaku pada 27 Januari 1976, 12 hari selepas Allahyarham Tun Hussein Onn dilantik Perdana Menteri menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak, dan 3 November 2003, tiga hari selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Oleh yang demikian, Majlis Presiden beranggapan kenyataan Peguam Negara bagi pihak kerajaan ini amat biadab, melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, malah melanggar titah dan derhaka terhadap Seri Paduka Baginda.

“Ini juga kali kedua Peguam Negara derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, yang sesungguhnya amat mengecewakan dan beliau tidak layak memegang jawatan itu,” katanya.

Sehubungan itu PH mendesak Peguam Negara meletak jawatan kerana beliau bukan sahaja derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, malah mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

“PH menjunjung titah Seri Paduka Baginda bahawasanya undi percaya perlu dikemuka dan diluluskan untuk mengabsahkan Perdana Menteri kesembilan punyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada sidang Parlimen yang bermula 13 September ini.

“Perdana Menteri tidak harus mengguna pakai nasihat Peguam Negara yang salah ini sekiranya tidak mahu mengikuti jejak langkah Perdana Menteri kelapan yang mengakibatkan ketidakstabilan politik apabila keabsahan beliau sentiasa diragui dan dipertikai,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan Majlis Presiden PH dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Semalam, Idrus dilaporkan berkata tiada keperluan mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang dibentuk menurut lunas undang-undang.

Beliau berkata pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, proses pemilihan dijalankan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan teliti dan telus untuk melantik Perdana Menteri kesembilan menunjukkan pelantikan Ismail Sabri sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here