Timbang semula keputusan buka sekolah, jangan ambil risiko – Zahid

0
1
Pelajar tingkatan 5 hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri sebagai permulaan sekolah hari ini. Pelajar calon peperiksaan utama 2020 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak terburu-buru untuk membuka sesi persekolahan secara bersemuka terutama dalam situasi Covid-19 yang masih belum reda.

Ahmad Zahid berkata, keputusan kerajaan membuka sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober ini dibuat tanpa mengambil kira kadar jangkitan Covid-19 masih tinggi.

Beliau berkata, kerajaan dinasihatkan supaya mengambil pendekatan berhati-hati dalam perkara ini kerana ia melibatkan soal keselamatan anak-anak dan warga pendidik.

“Menurut KPM ramai anggota masyarakat telah divaksinkan dan nilai ambang yang diambil kira dalam PPN (Pelan Pemulihan Negara) .

“Namun kita mahu kerajaan sangat berhati-hati dalam perkara ini. Ini melibatkan soal keselamatan anak-anak dan warga pendidik kita.

“Jangan sesekali mengambil risiko yang kita tidak pasti. Tidak perlu terburu-buru sekali lagi. Elakkan kesilapan lama berulang,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, masih ada banyak perkara yang perlu diperhalusi KPM berhubung keputusan berkenaan.

“Terlalu banyak perkara perlu diperhalusi secara mendalam kerana rata-rata murid sekolah masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Meskipun SOP akan lebih diperketat, tetapi sejauh mana ia benar-benar berkesan dalam melindungi murid, perlu jadi keutamaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pada 26 April lalu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan seramai 23,739 pelajar bawah umur 12 tahun telah dijangkiti Covid-19.

Katanya, berdasarkan data itu KKM mengaku betapa mudah kes ditularkan di sekolah akibat pergaulan sedangkan dilaksanakan pelbagai SOP.

“Pada ketika itu kes jangkitan harian di seluruh negara cuma sekitar 2,000 lebih. Pada hari ini jangkitan harian lebih 18,000 kes dan masih belum menunjukkan penurunan.

“Saya fikir tiada ibu bapa atau penjaga yang sanggup meletakkan anak mereka pada risiko kesihatan. Jika SOP kurang meyakinkan mungkin ramai enggan menghantar anak ke sekolah.

“Akhirnya kembali mengundang isu pendidikan. Situasi yang sangat perlu dielakkan kerana mewujudkan suasana tidak kebersamaan yang akan memangsakan murid sekolah,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, kerajaan haruslah memastikan keputusan dan langkah yang diambil dalam isu pembukaan sekolah Oktober ini adalah tepat dan betul.

“Jangan sudah terhantuk baru tengadah. Jadikan pengalaman yang lepas sebagai pengukur dalam membuat keputusan yang terbaik,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini.

Bagaimapun, jelas beliau, sesi berkenaan tidak akan melibatkan negeri-negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 PPN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here