LRA Sungai Semenyih rekod bacaan sifar ton

0
1

PENCEMARAN bau yang direkodkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih mencatatkan bacaan sifar ton tiga kali berturut-turut sehingga jam 6 pagi, hari ini.

Pengurusan Air Selangor dalam kenyataan di Facebook berkata, pihaknya kini dalam proses untuk memulakan proses rawatan di LRA terbabit yang dihenti tugas semalam.

“Berikutan itu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dan premis-premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Malah, ujian persampelan air turut dilakukan di tapak sebelum lori tangki air bergerak ke premis-premis kritikal dan kawasan-kawasan yang terjejas bagi memastikan air terawat bersih dah selamat sampai kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden berkenaan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Semalam, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil dengan segera terhadap pihak yang menyebabkan berlakunya pencemaran bau di LRA Sungai Semenyih.

Beliau berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama pihak polis akan bertindak tegas termasuk dari segi undang-undang.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here