MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berazam untuk memodenkan sistem Parlimen yang lebih komprehensif, inklusif dan lengkap bagi menyesuaikannya mengikut landskap politik.
Beliau berkata, pemodenan sistem tersebut adalah dengan menyingkirkan undang-undang dan peraturan pra-Merdeka serta menjadikannya sebagai badan bebas dari kuasa eksekutif.
“Oleh itu, kementerian akan membentuk satu jawatankuasa bersama dengan pihak Parlimen bagi memastikan pembaharuan yang dirancang itu dapat dilaksanakan dengan cepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Wan Junaidi, tiga perkara utama telah dibangkitkan dalam pertemuan bersama speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim semalam.
“Yang pertama adalah menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA). PSA dimansuhkan oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1992.
“Menghidupkan semula akta itu memberi Parlimen kemampuan untuk menguruskan secara pentadbiran dan kewangan, dan bukannya berada di bawah bidang kuasa eksekutif seperti sekarang.
“Perkara ini sebelumnya merupakan salah satu janji reformasi Pakatan Harapan (PH), yang tidak ditepati selama 22 bulan berkuasa,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat cadangan untuk mewujudkan akta baru Parlimen bagi menggantikan Akta Hak Istimewa dan Kuasa Parlimen 1952.
Katanya, akta yang ada sekarang sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai untuk landskap politik pada abad ke-21.
“Daripada mengubahnya, lebih baik kita tampil dengan akta parlimen baru yang lebih komprehensif, inklusif dan lengkap.
“Ini juga untuk mengikuti apa yang sedang dibuat oleh kebanyakan negara komanwel seperti Australia, Kanada, New Zealand dan India,” katanya.
Tambahnya, terdapat juga perbincangan untuk meminda perintah dan peraturan tetap untuk kedua-dua dewan di Parlimen.
“Banyak peraturan diguna pakai ketika ini adalah peninggalan sebelum kemerdekaan, dan kemudian pindaan perlu dilakukan untuk memodenkan Parlimen dan memperkasakannya.
“Azhar dan Rais menerima cadangan itu secara positif dan akan menyerahkan laporan cadangan itu kepada Kabinet,” katanya. – Malaysiapost

