NGO gesa pendengaran awam isu penyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat

0
1

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) untuk mengadakan satu pendengaran awam dengan segera berkaitan penyahwartaaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Setiausaha Otai Reformasi 1998, Abdul Razak Ismail, berkata sesi pendengaran itu bagi merungkaikan mengenai isu tersebut, demi kepentingan rakyat Selangor.

Katanya, orang ramai khususnya rakyat Selangor melahirkan rasa amat kecewa terhadap tindakan Kerajaan Negeri kerana melaksanakan penyahwartaan Hutan Simpan seluas 536.7 hektar( bersamaan 1,326 ekar) berkenaan.

“Malah, ia diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mei lalu dan diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri No: 1440 pada 12 Ogos baru-baru ini.

“Kami juga melahirkan rasa sedih terhadap tindakan kerajaan negeri yang tidak menghormati keputusan sebulat suara tanpa sebarang bantahan dari Adun-adun Negeri Selangor yang menyokong penuh Usul 26 mempertahankan Pewartaan status Hutan Simpan Kekal di Negeri Selangor dalam sesi Sidang Dewan pada 11 November tahun lepas.

“Dan kami juga merasakan bahawa sesi pendengaran awam yang diadakan oleh kerajaan negeri di Amverton Resort Pulau Carey, Banting, Selangor pada 29 September 2020 hanya umpama ‘melepaskan batuk ditangga sahaja’ bagi melengkapkan proses meluluskan penyahwartaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bagi penyerahan memorandum kepada Pengerusi SELCAT, Ng Suee Lim di luar pintu Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, Shah Alam hari ini.

Turut serta penyerahan memorandum tersebut, NGO dari Persatuan Pelindung Khazanah Alam Sekitar (PEKA), Malaysia Forest MaSSSa dan Masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata, pihaknya juga kesal terhadap kerajaan negeri kerana tidak mengambil berat tentang bantahan dari orang awam, masyarakat Orang Asli, dan NGO-NGO alam sekitar dan sosial terhadap cadangan penyahwartaan tersebut.

Menurutnya, lebih 45,000 surat bantahan telah disampaikan kepada pejabat Perhutanan Selangor tempoh hari.

“Dan lebih 100,000 tandatangan petisyen telah diterima secara atas talian untuk menyatakan bantahan keras terhadap cadangan penyahwartaan status hutan simpan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan terdapat sembilan kampung masyarakat Orang Asli dari kaum Temuan menetap di kawasan itu.

“Iaitu lebih 1,000 orang keluarga Orang Asli menetap di sekitar hutan tersebut di mana hutan tersebut merupakan kawasan punca pencarian pendapatan dan tempat untuk mereka mencari hasil hutan, binatang buruan kecil dan pucuk-pucuk ulam-ulaman,” katanya.

Tambahnya, hutan simpan ini penting untuk mengekalkan ekosistem.

“Jadi, sebarang tindakan mengubah ekosistem ini akan menyebabkan berlakunya pelepasan lebih 3.2 juta tan karbon dioksida ke udara yang akan mengundang perubahan iklim yang ketara dan memberi impak besar terhadap iklim dan cuaca di Selangor khususnya dan Malaysia di masa hadapan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut membantah keras penyerahan tanah hutan ini kepada syarikat Gabungan Indah Sdn Bhd.

“Ia kerana syarikat ini dilihat tidak mempunyai sebarang justifikasi rekod kerja untuk membangunkan tanah hutan seluas 536.7 hektar ini.

“Transparensi dan ketelusan pemberian tanah hutan tersebut oleh pihak Kerajaan Negeri kepada syarikat tanpa sebarang tender terbuka ini menimbul rasa curiga dan syak wasangka.

“Lantaran itu kami warga Selangor umumnya memohon pihak SELCAT mengadakan satu pendengaran awam dengan kadar segera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here