Lelaki Bangladesh diculik ditemui dalam keadaan digari, dirantai kaki

0
1

LELAKI warga Bangladesh yang diculik oleh rakan senegara sejak seminggu lalu berjaya diselamatkan dan ditemui dalam keadaan lemah dengan tangan bergari serta kakinya dirantai di sebuah rumah di Bandar Teknologi, Kajang, semalam.

Mangsa yang berusia 39 tahun berjaya diselamatkan dalam tempoh kurang 24 jam selepas majikan mangsa membuat laporan polis pada jam 12.05 tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, majikan mangsa membuat laporan polis selepas dihubungi oleh isteri pekerja berkenaan yang berada di Bangladesh.

“Dalam kejadian ini, mangsa berusia 39 tahun dilarikan oleh suspek iaitu dua lelaki Bangladesh ketika berada di kawasan Jelok Ria dan suspek menghubungi isteri mangsa di Bangladesh untuk memasukkan wang tunai satu juta Taka dianggarkan RM50,000.

“Isteri mangsa yang ketakutan melakukan transaksi tersebut ke dalam satu akaun bank tempatan Bangladesh yang tidak dikenali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun selepas tiga hari diculik, suspek telah meminta tambahan sebanyak 1 Juta Taka (RM50,000) untuk membebaskan mangsa yang disembunyikan di tempat tidak diberitahu.

“Akibat telah kehabisan duit, isteri mangsa telah menghubungi majikan suaminya untuk meminta bantuan.

“Bertindak atas maklumat, empat suspek ditahan di hadapan sebuah kedai di TTDI Grove, Kajang kurang 24 jam aduan dibuat. Suspek membawa pasukan polis ke kawasan perumahan di Bandar Teknologi, Kajang.

“Mangsa ditemukan di sebuah bilik kecil di tingkat atas rumah dalam keadaan lemah dan kedua-dua tangan bergari manakala kedua kakinya dirantai serta dikunci dengan mangga,” katanya.

Beliau berkata, semasa mangsa diselamatkan, seorang perempuan warga tempatan yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek turut ditangkap dan semua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Kajang hari ini bagi tujuan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 365/384 Kanun Keseksaan, kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

“Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan yang sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, atau denda atau dengan sebat atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here