JAIS ambil tindakan tegas kepada pegawai enggan divaksin

0
1

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengambil tindakan tegas kepada pegawai yang enggan menerima vaksinasi Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata tindakan itu mengambil maklum titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan keengganan guru Kafa, pegawai masjid dan penolong pendaftar Nikah JAIS untuk menerima suntikan vaksin.

“Justeru, JAIS akan menguruskan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor program Vaksinasi KHAS pada hari dan masa untuk mereka menerima suntikan.

“Saya juga akan menggunakan fungsi sebagai Pengarah JAIS yang perlu dan patut bagi memastikan sebarang usaha dan ikhtiar kerajaan serta titah Sultan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di Negeri Selangor berada ditahap yang diharapkan dapat direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu arahan bersurat secara rasmi akan dikeluarkan kepada setiap individu terlibat.

“Jika mereka tidak hadir, tindakan sewajarnya akan dimulakan mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

JAIS turut berharap agar semua yang terlibat akan hadir pada tarikh dan masa yang akan ditetapkan dalam tempoh masa terdekat.

Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat dukacita mengenai perkara tersebut.

Baginda bertitah, tindakan tersebut bukan sahaja akan membahayakan diri mereka sendiri malah orang ramai termasuk boleh memudaratkan para pelajar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here