Veteran Umno sokong Akta Pemecatan Ahli Parlimen

0
1
Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

VETERAN Umno menyokong saranan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen kepada Dewan Rakyat.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub, berkata cadangan itu wajar mendapat sokongan sebulat suara dari Ahli Parlimen dan semua parti-parti politik.

Beliau berkata, ia juga bertujuan untuk membendung dan menyekat Ahli Parlimen itu melompat dari parti asal yang mereka menangi dalam pilihan raya kepada parti lain atas apa alasan sekali pun.

“Maka akta itu akan memelihara kredibiliti Ahli Parlimen tersebut dan menjaga moral parti dari perlakuan mereka yang tidak bertanggungjawab mengabaikan amanah parti kepada mereka.

“Akta ini akan dapat menjamin amanah pengundi yang memilih seseorang Ahli Parlimen untuk mewakili berdasarkan parti yang dianggotai.

“Akta ini juga penting bagi mengembalikan imej demokrasi negara dan politik yang tecalar teruk akibat permainan “katak politik” yang melompat parti demi habuan dan kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya tiada tindakan diambil terhadap tindakan melompat parti, ia bukan saja meruntuhkan sistem demokrasi, bahkan akan merosakan pentadbiran negara.

Malah, katanya, keadaan itu sekali gus akan membantutkan pembangunan negara dan ia dapat dilihat terhadap apa yang berlaku terhadap negara selepas PRU-14 – tiga kali kerajaan dan perdana menteri bertukar.

“Dari pengalaman yang lalu, mereka yang melompat parti itu disebabkan oleh kepentingan peribadi dan bukannya atas alasan kepentingan rakyat dan pengundi.

“Oleh itu wajarlah rakyat dan pengundi memilih semula untuk menentukan wakil yang patut mewakili mereka dikawasan mereka.

“Ini bagi mengembalikan kuasa pemilihan itu kepada mereka kerana akhirnya pengundi adalah mereka yang memuktamadkan pemilihan wakil mereka,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Azalina berhasrat membawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berkata ia dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan.

Azalina berharap usul itu yang akan dibawa dalam sidang Parlimen 13 September ini, akan menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan Pilihan Raya Pecat atau ‘Recall Election’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here