Polis buru suspek ugut simbah asid

0
2

POLIS sedang menyiasat dan mengesan suspek yang membuat ugutan jenayah terhadap seorang wanita termasuk ingin menyimbah muka wanita itu dengan asid melalui nota dalam bungkusan kurier dikirim ke alamatnya di Kampung Saim, Klang, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie, berkata selain menggugut mencederakan wanita berkenaan, suspek turut mengugut membakar rumah keluarganya.

Beliau berkata, suspek juga mengirim objek berbentuk tangan dengan kesan cecair merah bersama nota ugutan terbabit dan memintanya berhati-hati ketika pergi kerja di sebuah kedai emas di pusat beli-belah di Setia Alam.

Menurutnya, wanita berusia 29 tahun itu membuat laporan polis pada jam 7.30 petang hari sama selepas menerima bungkusan terbabit.

“Pada keesokan harinya wanita terbabit menerima beberapa mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang berbaur lucah dan ugutan dari nombor tidak dikenali.

“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan memanggil pengadu untuk dirakam keterangan serta sedang mengesan pengirim bungkusan dan pemilik nombor telefon bimbit terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memohon orang ramai supaya menghentikan perbuatan tidak bermoral serta menyalahi undang-undang itu yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here