MEMUDAHKAN proses bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan susah, khususnya yang terjejas akibat pandemik Covid-19 antara fokus Datuk Seri Rina Harun bagi membuktikan pencapaiannya dalam tempoh 100 hari.
Rina yang dilantik semula sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kementeriannya juga memperkasakan lagi pengurusan untuk proses permohonan bantuan JKM bagi memudahkan orang ramai memohon.
“Alhamdulillah apabila diberi tanggungjawab mengetuai semula kementerian ini, jadi dalam KPI 100 hari sudah pasti di pihak kementerian antara lain untuk mempermudahkan lagi permohonan bantuan daripada JKM.
“Kita lihat dengan situasi pandemik Covid-19 yang berterusan, ramai keluarga terjejas, anak-anak yatim kehilangan ibu dan bapa. Justeru sudah pasti kita membela nasib mereka dengan segera.
“Apabila Perdana Menteri menyatakan 100 hari itu, perkara ini perlu dibuat segera dan pantas bagi memberi impak besar kepada rakyat. Ini fokus yang kita laksanakan,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa ragut, Siti Nur Azizah Syafriadi yang terpaksa dipotong tangan akibat disamun tiga lelaki di Jalan Kuching, Khamis lalu,
Mengulas lanjut, Rina berkata permohonan bantuan diterima JKM kini melebihi 500,000 iaitu peningkatan sehingga 40 peratus sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
“Setiap bulan memang ada permohonan baru yang diterima dan diluluskan. Sebab itu kita beri bantuan dalam jangka panjang kerana ramai yang terjejas dan hilang punca pendapatan.
“Kita juga perlu memikirkan sesuatu bagaimana mereka meneruskan kehidupan, iaitu dengan peluang pekerjaan dan peniagaan,” katanya.
Tambahnya, golongan wanita juga tidak terpinggir terutama mereka yang hilang pekerjaan yang mana pihaknya menyediakan pusat bagi memberi bimbingan dan latihan secara percuma.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari.
Ismail Sabri berkata, beliau sendiri akan memastikan barisan Kabinet baharu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi. – Malaysiapost

