Isu air di Selangor: Pantau pencemaran guna dron tidak efisien – AWER

0
1

Nurul Huda Abhar

PENGGUNAAN teknologi dron bagi mengesan pelepasan air sisa bukan tindakan efisien bagi mengawal pencemaran air yang berlaku di Selangor, malah cadangan tersebut hanya merugikan kerajaan negeri.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piapakaran berkata, pihak berwajib perlu sedar bahawa individu tidak bertanggungjawab yang melepaskan bahan tercemar ke sungai tidak akan melakukannya secara terang-terangan.

“Pertama mereka akan buat waktu alga terlarut iaitu pada tengah malam. Kedua, mereka buat ketika musim hujan sebab sistem peparitan semua akan masuk ke sungai. Ketiga mereka akan buat di tempat yang jauh dari pergerakan manusia.

“Dalam konteks ini bagaimana sebuah dron dapat mengenal pasti? Individu yang mengendalikan dron itu semestinya pakar dalam menerbangkan dron tetapi bagaimana dia mahu kenal pasti.

“Kerana jika bahan tersebut tiada warna bagaimana mahu meneliti. Jika dikatakan mahu kesan tompokan minyak, daripada restoran-restoran pun banyak yang lepaskan minyak terus ke longkang,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Piapakaran berkata, daripada kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan besar bagi tujuan penggunaan dron, adalah lebih baik mengenalpasti semua industri-industri yang beroperasi di kawasan yang terlibat.

Tambahnya, berdasarkan maklumat tersebut, pihak berwajib dapat mewujudkan undang-undang lebih ketat bagi memindahkan operasi premis berisiko ke zon yang ditentukan antaranya ke lembangan sungai yang tidak digunakan untuk tujuan makan dan minum.

Katanya, kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah perlu untuk membendung aktiviti pelepasan air sisa yang dilakukan oleh premis-premis perniagaan.

“PBT tiada kuasa memaksa untuk mendedahkan apa yang terkandung dalam bahan yang dibuang. Oleh itu perlu ada kerjasama daripada JAS dan PBT.

“Oleh itu, PBT boleh pergi ke setiap premis kerana mereka yang mengeluarkan lesen perniagaan, dan JAS boleh minta mereka dedahkan kandungan bahan yang lebih spesifik,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Piapakaran menegaskan jika tiada undang-undang lebih berat menghukum mereka yang sewenang-wenangnya melepaskan air sisa ke sistem sungai, maka semua pihak tidak akan berasa takut dan mengambil sikap sambil lewa.

Demikian itu, beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan undang-undang bagi pihak yang terjejas akibat gangguan bekalan air untuk menuntut ganti rugi dari pihak yang melakukan pencemaran.

“Contohnya Air Selangor telah kenal pasti pesalah dan dihukum dengan sejumlah denda. Kita minta dia bayar ganti rugi bukan sahaja kepada syarikat-syarikat yang bekalkan air, malah kepada sektor pertanian, dan juga sebagai rebat dalam bil akaun yang terlibat.

“Jika syarikat-syarikat yang mengalami kerugian ratusan ribu ringgit sehari kerana terputus bekalan air membuat tuntutan ganti rugi tinggi, sudah pasti mereka akan fikir dua kali sebelum berbuat demikian,” katanya.

Selasa lalu, sebanyak 463 kawasan membabitkan lima wilayah di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, susulan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas selepas berlaku pencemaran bau.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata teknologi dron akan digunakan dalam memantau aktiviti pencemaran sumber air di negeri itu.

Katanya, penggunaan dron itu sebagai langkah efektif dalam melakukan pemantauan terutama mencegah pencemaran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here