
BEKAS penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kamaruddin Ahmad meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Bukit Sentosa, Rawang Selangor, pagi tadi.
Anak Allahyarham, Kamarul Zaidi Kamaruddin, 53, mengesahkan bapanya telah menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 7 pagi.
“Kebelakangan ini, Allahyarham tiada selera makan menyebabkan beratnya semakin menyusut.
“Arwah ada juga mengadu sakit pinggang dan sendi tapi saya tidak berkesempatan berjumpa arwah disebabkan pandemik ini,” katanya.
Kamaruddin, 78, dilaporkan menghidap pelbagai penyakit termasuk hipertensi, diabetes dan masalah pada prostat.
Allahyarham Kamaruddin meninggalkan seorang balu, 8 anak, tujuh belas cucu dan 6 cicit.
Sepanjang 20 tahun bertugas di RTM, arwah menjadi penyampai televisyen pertama dalam sejarah penyiaran negara bergandingan dengan Allahyarham Wan Chik Daud.
Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Beruntung, sebelum waktu Zohor. – Malaysiapost
