
SEJUMLAH 274.234 petugas kesihatan telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan daripada jumlah itu, sehingga kini sebanyak 11,572 kes atau 4.22 peratus dikesan dijangkiti Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah terkini yang dijangkiti itu hanya 25 kes sahaja berada di kategori tiga, empat dan lima.
Menurutnya, sebanyak 3,703 kes atau 32 peratus daripadanya adalah kategori satu iaitu tiada gejala dan 7,844 kes atau 67.8 peratus gejala ringan atau kategori dua.
“Keberkesanan vaksin mengurangkan keparahan (severity) dan mengurangkan kematian.
“Ia juga mengurangkan kemasukkan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta mengurangkan bantuan akta pernafasan.
“Vaksin tidak sifarkan keparahan dan kematian. Tiada Vaksin yang berkesan 100 peratus,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Berdasarkan infografik yang dikongsinya, petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 dan berada di kategori tiga adalah 13 kes (0.11 peratus), kategori empat adalah tujuh kes (0.06 peratus) dan kategori lima adalah lima kes (0.04 peratus). – Malaysiapost
