Sebar ajaran sesat di media sosial boleh kena tindakan

0
1

IINDIVIDU yang menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan dakyah sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata menjadi satu kesalahan di bawah akta berkenaan apabila seseorang berkongsi kandungan yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman awam.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

“Bagi ajaran sesat di dalam negara, kita boleh ambil tindakan berdasarkan peraturan sedia ada.

“Apa juga ajaran sesat di dalam negara, kita akan ambil tindakan berdasarkan laporan. Kita juga sedang bincang kemungkinan untuk memadam kandungan berkenaan dari media sosial.

“Contohnya kalau ajaran itu disebarkan di dalam Facebook, kementerian perlu mendapat kebenaran Facebook, begitu juga Youtube dan lain-lain,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan yang dibuat Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) susulan aduan diterima berhubung ajaran PMYT lebih tiga minggu lalu.

Pengarahnya Datuk Mohd Yusop Husin sebelum ini mengesahkan laporan berkenaan dibuat kira-kira tiga minggu yang lalu termasuk satu laporan kepada SKMM.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Justeru, Zahidi berkata, beliau menasihatkan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk membuat laporan kepada SKMM bagi membolehkan tindakan segera diambil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here