RAYUAN Malaysia untuk mengekalkan pingat emas yang diraih Muhammad Ziyad Zolkefli pada Temasya Paralimpik Tokyo 2020 semalam, ditolak dalam mesyuarat Cheif de Mission (CDM), hari ini.
Perkara itu dimaklumkan wartawan Astro Arena, Bazly Azmi menerusi ciapan di Twitter sebentar tadi, sekali mengesahkan Muhammad Ziyad terlepas pingat emas lontar peluru kategori F20.
“Rayuan boleh dibuat selepas tamat temasya (Paralimpik),” katanya lagi. Semalam Muhammad Ziyad mencatatkan 17.94 meter (m) pada lontaran ketiga untuk meraih emas, sekali gus memecah rekod dunia 17.29m miliknya sendiri yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017.
Bagaimanapun kejayaan anak kelahiran Selangor itu dibatalkan susulan protes kem Ukraine sejurus keputusan dikeluarkan.
Difahamkan, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Muhammad Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik panggilan sebelum acara dimulakan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Li Tian Ker menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan jika keputusan mesyuarat CDM pagi ini tidak memihak kepada Malaysia ia bermakna keputusan dibuat oleh pengadil pertandingan dan Juri Rayuan Para Olahraga Sukan Paralimpik Tokyo 2020 adalah kekal.
Bagaimanapun katanya, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Persatuan Olahraga Para Malaysia akan membuat bantahan rasmi kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletic (WPA) supaya dipertimbangkan semula rayuan ketiga-tiga negara tersebut.
Ini katanya, agar penyertaan dan catatan mereka bagi acara Shot Put F20 Para Olahraga di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 perlu diiktiraf sebagai penyertaan dan catitan rasmi kejohanan tersebut.
“Namun demikian, bantahan ini hanya boleh dilakukan selepas temasya Tokyo Paralimpik 2020 berakhir.
Sementara itu, kita terpaksa menerima keputusan acara tersebut seperti yang diputuskan,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Astro Arena

