Kiraan 100 hari penanda aras barisan Kabinet sudah bermula – Zahid

0
2
Sidang media penutup Perhimpunan Agung UMNO 2020

RAKYAT menaruh harapan tinggi terhadap barisan Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Isnin lalu.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun majoriti anggota Kabinet adalah daripada kerajaan sebelum ini, mereka dikehendaki bekerja untuk rakyat dan negara dengan cara baharu.

Menurutnya, tempoh 100 hari menjadi penanda aras kepada mereka dan kiraan itu telah bermula, maka jangan disia-siakan harapan rakyat.

“Rakyat menaruh harapan tinggi kepada seramai 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri yang diumumkan baru-baru ini.

“Meskipun majoriti anggota Kabinet kerajaan lama, tetapi mereka kini berkhidmat di bawah kerajaan baharu.

“Maka seharusnya cara bekerja dan berfikir untuk rakyat serta negara dengan cara baharu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, mereka perlu membuktikan kemampuan dan bukan seperti yang disindir serta dikritik oleh masyarakat.

“Pendekatan lama yang menimbulkan kemarahan, kekecewaan dan keresahan rakyat jangan diulang.

“Fokus utama menurunkan kes jangkitan Covid-19 dan mempercepatkan imuniti kelompok serta memulihkan ekonomi rakyat dan negara. Tiada lagi sindrom penafian dengan alasan yang “annoying”.

“Kerajaan baharu dikatakan kerajaan “result oriented”, maka buktikan penghasilan yang terbaik Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here