KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan terhadap individu yang menimbulkan kegusaran awam kononnya Perang Dunia Ketiga akan berlaku dan bermula di Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata KDN akan mengambil tindakan terhadap individu dan pengikut ajaran yang menimbulkan cerita tidak benar sehingga boleh menyebabkan perasaan gusar serta takut dalam kalangan masyarakat.
Katanya, agensi bertanggungjawab di bawah KDN tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan, termasuk menghasut.
“Tindakan juga boleh diambil terhadap pihak yang melakukan kesalahan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Kalau melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang contohnya pencetakan, kita boleh ambil tindakan dari sudut itu.
“Kalau hasut sehingga menyebabkan orang ramai tidak selesa dan cuba lari dari negara kita, itu sesuatu yang boleh menimbulkan perasaan gusar dan takut.
“Kita boleh ambil tindakan, mungkin melalui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya dalam sidang media pertamanya selepas dilantik semula menerajui KDN hari ini.
Hamzah berkata, tindakan akan diambil terhadap semua yang terbabit, termasuk penjawat awam.
“Ada bermacam-macam manusia. Kalau orang yang keluarkan perkataan menakutkan, PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan ambil tindakan sewajarnya.
“Jadi kita tengoklah, terhadap pengikut (tindakannya) lain, yang menghasut pun lain, kita akan perhatikan tindakan mana wajar untuk diambil terhadap mereka,” katanya.
Tedahulu, media melaporkan berhubung tindakan seorang wanita berusia 39 tahun mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah yang rakaman videonya tular di laman sosial, baru-baru ini.
Wanita terbabit dikaitkan dengan usaha mengembangkan ajaran diasaskannya, dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam dan dia aktif menggunakan media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram sejak enam bulan lalu. – Malaysiapost

