BEBERAPA video tular memaparkan kesesakan lalu-lintas di jambatan angkat atau drawbridge di Kuala Terengganu yang didakwa dirakam ketika sambutan ambang merdeka malam tadi, sebenarnya adalah video lama.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa yang memaklumkan semakan mendapati kejadian itu berlaku sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi, lapor Utusan Malaysia.
Beliau menjelaskan, dua video yang dikesan tular itu ialah semasa program ceramah Ustaz Abdul Somad pada Februari 2020 di samping sambutan ambang kemerdekaan beberapa tahun lalu.
“Pada jam 10.30 malam, semua jalan di Kuala Terengganu terutama di jambatan angkat lengang.
“Malah, pasukan pemantau bersama anggota kereta peronda (MPV) di samping trafik ada bertugas di kawasan berkenaan dan tiada kesesakan atau aktiviti berkumpul menyambut Hari Kebangsaan seperti video tular,” katanya.
Video kesesakan lalu lintas dengan orang ramai berkumpul itu tular di media sosial sejak tengah malam tadi hingga menimbulkan kekeliruan masyarakat.
Utusan Malaysia turut melaporkan, Terengganu mengadakan sambutan ambang kemerdekaan secara dalam talian malam tadi yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – Malaysiapost

