
DAP menerima alasan penundaan tarikh sidang Parlimen jika itu dapat memberi ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjalani tempoh kuarantin kendiri ketika ini.
Bagaimanapun Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata penundaan tarikh itu tidak memberi sebarang erti jika tidak mengadakan usul undi percaya terhadap keabsahan Perdana Menteri.
“Tidak ada sebarang alasan bagi penundaan sidang Parlimen dari 6 kepada 13 September jika usul undi percaya terhadap Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak ada dalam agenda atau kertas aturan Parlimen.
“Jelas bahawa Parlimen telah ditangguhkan satu minggu untuk membantu Ismail Sabri, yang berada di bawah kuarantin di rumah kerana menjadi kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19.
“DAP menerima bahawa Perdana Menteri baharu perlu berada di Parlimen, ketika undi percaya sedang dipertimbangkan dan diputuskan oleh Parlimen.
“Namun jika tiada usul undi percaya, apa gunanya atau alasan penangguhan Parlimen selama seminggu? Tidak ada alternatif atau kompromi untuk mengadakan usul undi percaya di Parlimen, ia perlu dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, pelantikan Perdana Menteri ketika pertengahan penggal Parlimen akibat daripada kekosongan, memerlukan undi percaya bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen seperti ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi Ismail Sabri untuk tidak memasukkan usul undi percaya dalam agenda Parlimen adalah tidak berperlembagaan.
“Pada 18 Ogos, Yang di-Pertuan Agong telah bertitah agar Perdana Menteri yang baharu perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti.
“Sebarang kegagalan untuk melakukannya akan menjadi penentangan terbuka yang boleh ditafsirkan sebagai penderhakaan yang disengajakan dan bersikap keras kepala terhadap Titah Diraja, yang akan menjadi permulaan yang tidak baik kepada kepimpinannya sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Guan Eng juga berkata, tidak ada Perdana Menteri yang ingin menyambut Hari Merdeka pertamanya di bawah situasi seperti ini yang sekali lagi akan menimbulkan ketidakstabilan politik.
Sebelum ini sidang Dewan Rakyat dijadualkan berlangsung selama 15 hari bermula 6 hingga 30 September.
Bagaimanapun menerusi notis dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin semalam, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 itu dipinda kepada 13 September hingga 12 Oktober dan akan berlangsung selama 17 hari. – Malaysiapost
