Agong mahu kerajaan terus rangka, susun pelan tindakan bantu rakyat

0
2

YANG di-Pertuan Agong menyeru kerajaan untuk terus merangka dan menyusun pelan tindakan membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan mengembalikan semula iklim ekonomi yang sihat.

Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan iaitu ‘Malaysia Prihatin’, Seri Paduka Baginda mahu rakyat terus dilindungi agar dapat berdiri tangkas menghadapi impak negatif kemelut itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan hari ini berkata Seri Paduka Baginda turut menyeru Program Imunisasi Covid-19 kebangsaan terus diperkasa bagi membolehkan negara mencapai imuniti kelompok yang diharapkan.

Pada masa sama, katanya, Yang di-Pertuan Agong mahu rakyat juga turut berpegang teguh kepada prinsip “Malaysia Prihatin’ dengan segera mendapatkan vaksin bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti.

“Bersempena sambutan Hari Kebangsaan hari ini, Seri Paduka Baginda merakamkan ucapan tenma kasih kepada semua petugas bansan hadapan negara, petugas kesihatan, pasukan keselamatan, penjawat awam, sukarelawan dan orang perseorangan yang telah menabur khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.

“Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk mengingati dan menghargai para pejuang dan patriot kemerdekaan negara, serta anggota pasukan keselamatan yang telah berkorban sehingga berjaya menyelamatkan negara daripada belenggu penjajah dan seteru negara.

“Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri mendoakan agar negara tercinta ini terus berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT dari segala musibah dan pandemik Covid-19,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kesyukuran kerana pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-64 tahun, perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.

Sambutan Hari Kebangsaan kali ini adalah tahun kedua rakyat meraikannya dalam suasana pandemik Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here