
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mula menjalani kuarantin kendiri selepas disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, Ismail Sabri tidak dapat menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Simpan Rahsia Kabinet baharu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah, petang ini.
“Sementara itu, bagi sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya esok, Perdana Menteri akan menyertainya secara maya,” menurut kenyataan itu.
Majlis mengangkat sumpah jawatan jemaah Menteri Kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan berlangsung jam 2.30 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu membabitkan 31 menteri dan 38 timbalan menteri. – Malaysiapost
