Penggambaran terpaksa tangguh, macam mana nak cari makan? – Namron

0
1

PELAKON yang pernah merangkul Pengarah Filem Terbaik Anugerah Festival Filem Malaysia 2019, Namron, mendedahkan dirinya sudah tiga bulan tidak dapat ‘mencari makan’.

Namron, 52, berkata, ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak Mei lalu yang menyebabkan sektor perfileman dan penggambaran lumpuh kerana tidak dibenarkan beroperasi.

Menurut Namron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan, tidak mempunyai kerja bukan bermakna dirinya tidak mahu bekerja, sebaliknya kecewa dengan syarat yang diberikan kepada penggiat seni kreatif yang tidak dapat berkarya sepanjang PKP 3.0 ini.

“Apabila perkara tersebut dimaklumkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS), bukan cuma saya, malah ramai lagi penggiat seni yang merasa ia tidak wajar. Semua orang nak kerja. Tapi kebenaran yang ada sekarang ini adalah bagi mereka yang terikat untuk menyambung penggambaran yang sebelum ini,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Menurut Namron, adalah tidak adil kelongaran itu diberikan hanya untuk menyambung pengambaran yang tertangguh sedangkan ramai golongan seni yang tidak dapat mencari rezeki ketika ini sangat memerlukan pekerjaaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Penggambaran yang baru tidak dibenarkan. Contoh macam saya, sepatutnya ada dua kerja penggambaran yang perlu saya buat bermula sekitar Jun lalu. Tapi terpaksa ditangguh lagi sebab syarat yang disebut tadi.

“Macam mana kita nak cari makan? Saya sudah hampir tiga bulan lebih tak ada kerja ini. Sebelum dapat tawaran itu, dua bulan juga saya tidak kerja sebab nak buat persediaan masuk ke set baru. Tapi apakan daya masih juga tak dapat buat,” katanya.

Selain itu, Namron juga melahirkan rasa kecewa kerana sektor seperti pusat membeli-belah, kilang dan pasar malam juga sudah dibenarkan beroperasi secara mematuhi prosedur operasi standard (SOP) namun tidak terhadap sektor penggambaran.

Menurutnya, keadaan ini memperlihatkan seolah-olah industri penggambaran mampu mencetuskan sesebuah kluster sedangkan masing-masing sama ada pihak produksi, pelakon dan kru-kru bertugas sangat menjaga soal SOP.

“Ramai juga kalangan kami yang sudah mendapatkan suntikan vaksin dua dos. Itu juga yang dijanjikan oleh kerajaan, siapa yang sudah lengkap proses vaksinasi, boleh kembali bekerja dan bergerak melakukan aktiviti dengan SOP.

“Tapi sampai sekarang masih tak boleh lagi. Saya berharap pihak tertentu ambillah tindakan segera sebab semakin lama, semua antara kami ini berasa tertekan untuk menguruskan kelangsungan hidup.

“Apalagi buat kami yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga ini. Kita nak cari makan untuk keluarga,”katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here