
JUMLAH keseluruhan dos vaksin Covid-19 termasuk vaksin dos tunggal yang diberikan sehingga semalam adalah sebanyak 33,724,744 dos.
Berdasarkan infografik dikongsikan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Facebook.hari ini, jumlah individu yang menerima satu dos vaksinasi adalah 19,241,946 orang, manakala dos kedua adalah 14,487,972 orang.
Menurut JKJAV, peratusan populasi keseluruhan yang telah mendapat dos pertama adalah 58.9 peratus, manakala yang lengkap dua dos adalah 44.4 peratus.
Populasi dewasa yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi pula adalah 82.2 peratus dan bagi yang lengkap dua dos pula adalah 61.9 peratus.
Setakat ini Labuan, Lembah Klang dan Sarawak merekodkan peratusan tertinggi bagi populasi yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.
Labuan kini mencatatkan 93.2 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin, manakala Lembah Klang dengan 89.5 peratus dan Sarawak pula 86.6 peratus.
Peratusan populasi dewasa di Negeri Sembilan yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 juga terus meningkat dan hampir mencapai 80 peratus dengan merekodkan 77.1 peratus setakat semalam.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari bagi menggerakkan negara ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok Covid-19. – Malaysiapost
