PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, yang meninggal dunia hari ini.
Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham yang dianggap sebagai negarawan, suatu kehilangan besar buat negara.
Menurutnya, jasa bakti Allahyarham akan terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia sampai bila-bila.
“Hari ini, Keluarga Malaysia kehilangan seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat dihormati dan disegani iaitu Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, yang kembali ke Rahmatullah awal pagi tadi.
“Selaku mantan KSN, Allahyarham cukup sinonim dengan pelbagai usaha mempertingkat imej dan kecekapan tadbir urus perkhidmatan awam, bahkan komited menyumbang idea dan kepakaran termasuk dalam sektor pendidikan walaupun setelah bersara.
“Sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Majlis Raja-Raja, Allahyarham juga memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam di dalam negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengucapkan takziah buat ahli keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan berdoa agar tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diangkat darjatnya bersama para anbia. Al-Fatihah,” katanya. – Malaysiapost

